Quran translations in many languages

Quran in Malay

Al-Inshiqâq

Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

 

[1]

Apabila langit terbelah,

[2]

Serta mematuhi perintah Tuhannya, dan sudah semestinya iapatuh;

[3]

Dan apabila bumi diratakan,

[4]

Serta mengeluarkan apa yang di dalamnya, dan menjadi kosong,

[5]

Serta mematuhi perintah Tuhannya, dan sudah semestinya iapatuh; – (Maka pada saat itu tiap-tiap seorang akan mengetahui apa yang telah dilakukannya).

[6]

Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan keadaan hidupmu) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu, kemudian engkau tetap menemui balasan apa yang engkau telah usahakan itu (tercatit semuanya).

[7]

Kemudian sesiapa yang diberi menerima surat amalnya dengan tangan kanannya, –

[8]

Maka ia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan,

[9]

Dan ia akan pergi kepada keluarganya (yang beriman) dengan sukacita.

[10]

Dan sesiapa yang diberi menerima surat amalnya (dengan tangan kiri), dari sebelah belakangnya,

[11]

Maka ia akan meraung menyebut-nyebut kebinasaannya,

[12]

Dan ia akan menderita bakaran neraka yang marak menjulang.

[13]

Sebenarnya ia semasa di dunia dahulu bersukaria dalam kalangan keluarganya (yang juga kufur ingkar)!

[14]

Sesungguhnya ia menyangka bahawa ia tidak sekali-kali akan kembali (kepada Kami untuk menerima balasan) !

[15]

(Sangkaannya itu tidak betul) bahkan ia tetap kembali! Sesungguhnya Tuhannya sentiasa Melihat dan Mengetahui keadaannya!

[16]

Maka Aku bersumpah, demi mega;

[17]

Dan malam serta segala yang dihimpunkannya;

[18]

Dan bulan apabila (penuh cahayanya) menjadi purnama:

[19]

Sesungguhnya kamu tetap melalui beberapa keadaan yang bertingkat-tingkat baik buruknya, (sebelum kamu menemui Tuhan – menerima kesenangan dan kebahagiaan atau sebaliknya)

[20]

Maka apakah alasan bagi mereka bersikap tidak mahu beriman?

[21]

Dan (apakah pula alasannya) apabila dibacakan Al-Quran kepada mereka, mereka tidak mahu taat dan sujud?

[22]

(Tidak ada satu alasan pun) bahkan orang-orang yang kafir, semata-mata mendustakannya;

[23]

Sedang Allah mengetahui apa yang mereka rahsiakan dalam hati.

[24]

Maka khabarkanlah kepada mereka dengan azab yang tidak terperi sakitnya;

[25]

Tetapi orang-orang yang beriman dan beramal soleh mereka beroleh pahala balasan yang tidak putus-putus.